Showing posts with label Kuih Tradisional. Show all posts
Showing posts with label Kuih Tradisional. Show all posts

Thursday, January 2, 2014

Kuih Getuk Ubi


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua teman-teman tersayang dan semua pengunjung setia Dapur CT. Apa khabar teman-teman semua? CT harap semuanya berada dalam keadaan yang terbaik ye. Masih tidak terlambat untuk CT mengucapkan Selamat Tahun Baru 2014 untuk semua kan. Semoga tahun baru ini membawa bersama semangat baru untuk kita mengharungi hari-hari mendatang sepanjang tahun 2014 ini dengan jayanya.


Setiap menjelang tahun baru, perkataan atau soalan yang kerap diajukan kepada kebanyakan dari kita ialah apa AZAM baru. Teman-teman semua ada azam baru tak untuk tahun 2014 ni? CT pulak, tak ada azam banyak sangat, tapi salah satu darinya ialah untuk lebih merajinkan diri mengupdate blog Dapur CT ni yang dah kian berhabuk sebab selalu sangat ditinggalkan lama tidak berupdate hehehe. Semoga CT diberikan semangat baru dan lebih rajin dari dulu. Doakan semoga azam CT tu tercapai ye.. hehehe


Cukuplah kita bercerita tentang azam, kita pergi kepada resepi pula ye. Resepi yang CT kongsikan kali ini adalah salah satu resepi kuih tradisional yang CT berikan rupa dan penampilan yang baru. Kuih Getuk Ubi ni kalau mengikut rupa lamanya memanglah tidak menarik dan mungkin disebabkan itu ianya kurang popular dan semakin dilupai, terutama oleh anak-anak kita. Disebabkan itulah kadang-kala kita kena berinovasi sedikit memberikan penampilan baru kepada rupanya supaya dapat menarik selera golongan anak-anak untuk menikmatinya.


Kuih Getuk Ubi ni sangat ringkas dan mudah penyediaannya dan untuk yang CT tampilkan di sini, CT tumbuk ubi tersebut hingga halus dan lumat bersama air gula dan sedikit pewarna dan CT bentukkannya seperti di dalam gambar menggunakan piping bag. Dan sebagai pelengkap sajian pula, CT taburkan kelapa parut di atasnya berbeza dengan cara penyediaan tradisional dimana kelapa parut dan gula pasir dicampurkan sekali bersama ubi ketika dilumatkan dan kemudian dikepal bulat untuk sajian. Bila rupanya dah di modenkan begini, pasti ramai yang tak tahu yang ini sebenarnya adalah getuk ubi kecuali setelah merasanya kan?


Okeylah CT berhenti sampai di sini dulu ye. Pada yang berminat untuk mengetahui keenakan Kuih Tradisional yang telah di inovasikan ini bolehlah mencubanya nanti ye. Sampai kita berjumpa lagi nanti dengan resepi CT yang lain, sekali lagi CT ucapkan Selamat Tahun Baru 2014 untuk semua! Daaaaa...


KUIH GETUK UBI

Bahan-bahan:
1 kg ubi kayu – kupas kulitnya
½ biji kelapa – parut putih dan kukus 10minit
200 gram gula pasir
½ sudu teh esen vanila
100 ml air
Sedikit pewarna makanan

Cara-cara membuatnya:
  1. Campurkan gula, air, esen vanilla dan pewarna makanan dan masak sehingga pekat. Ketepikan hingga sejuk.
  2. Kukus ubi kayu hingga empuk.
  3. Setelah ubi masak, keluarkan dan tumbuk ubi tersebut ketika masih panas sambil dituangkan campuran air dan gula keatasnya sehingga lumat.
  4. Akhir sekali, tuang kedalam acuan atau bentukkan mengikut selera.
  5. Hidangkan bersama kelapa parut atau keju parut.

Wednesday, April 10, 2013

Moist Fruit Cake


Assalamualaikum... Bersua lagi di hari rabu ini, semoga teman-teman diluar sana sentiasa ceria dan bahagia berpanjangan hendaknya. Untuk CT pulak, sejak semalam kena sakit kepala. Alah sakit kepala orang perempuan yang datang sebulan sekali tu hehe. Selalunya dalam sehari je esoknya dah hilang. Tapi kali ni dah semalaman masih tak hilang lagi. Agaknya di sebabkan oleh cuaca berbahang yang masih tak berkurangan, sakit kepala pun lambat juga nak berkurangnya.


Untuk resepi hari ini, CT kongsikan resepi kek buah. Rasanya, ini yang pertama kali CT mencuba kek buah selain kek-kek yang lain yang pernah CT buat sebelum ini. Kek buah adalah antara kek yang popular pada sambutan hari raya dan sudah pastinya salah satu antara kek yang menjadi kegemaran CT. Kakak CT di JB pandai buat kek buah kukus dan CT berani cakap yang kek yang dia buat yang paling sedap pernah CT rasa. Disebabkan kepakarannya tu, setiap kali dia buat pasti semua adik-beradik akan buat pesanan. Kalau dia buat bukan sebiji dua, tapi sampai 5 - 6 biji sekali kukus. Memang banyak, maklumlah adik beradik CT ramai. Tu yang dia buat banyak-banyak untuk semua adik-beradik merasa untuk di bawa balik ke rumah masing-masing 1/2 buku seorang hehehe.


Kalau nak cerita sejarah lama CT dengan kek kukus buah ni rasanya tak cukup sehari nak bercerita disini hehehe. Disingkatkan cerita memang dulu CT tak suka tolong kakak buat kek buah ni sebab takut terkena gula hangus tu kat tangan. Satu lagi sebabnya adalah nak elakkan diri dari kena jaga air dalam periuk kukusan yang biasanya ambil masa lebih 4 jam. Menurut kakak CT, lebih lama kek tu di kukus, lebih lama kek tu tahan untuk disimpan dan lebih lembab dan sedap rasanya.


Berbalik pada resipi Kek Buah Sedap yang CT kongsikan di sini, resepinya adalah bersumber dari blog JO Ayee yang menurutnya resipi asalnya ialah dari Jun Yummylicious. Kak Ummi juga pernah buat kek ni dan hasilnya memang terbaik dan sangat sedap. Biasanya untuk resepi yang CT cuba pada pertama kali, CT akan buat 1/2 adunan sahaja. Takut tak menjadi atau risau jika tidak mendapat sambutan dari anak-anak dan suami. Tapi nampaknya sambutan untuk kek ni boleh tahan juga. Jadi lepas ni bolehlah CT buat adunan penuh.


Oleh kerana percubaan ini berjaya, nampaknya raya tahun ni bolehlah CT buat nanti untuk di bawa balik ke kampung sebagai buah tangan untuk IBU mertua dan kakak-kakak CT di JB pada hari raya nanti, Insya Allah. Mungkin hasil air tangan CT tidak sehebat air tangan kakak CT yang pakar dalam membuat kek buah kukus. Maklumlah kek buah dikukus dibandingkan dengan kek buah yang dibakar pasti ada sedikit perbezaan rasanya kan. Mungkin juga yang dikukus tu lebih lembut berbanding yang dibakar dalam oven.  Tapi dari komen suami CT, kek yang CT buat ni tak kurang lembab dan lembutnya. Jadi nampaknya resepi ni menjadilah kan hehehe.


Oh ya sebelum CT terlupa, resipi asal kek ini mengunakan jus orange tapi CT gantikannya dengan jus mangga. Jika teman-teman ingin mencuba bolehlah semak resepi di bawah tu ye. Memang sedap kek ini untuk hidangan buat keluarga tersayang. CT berundur sampai di sini dulu. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT. Daaa.....

Moist Fruit Cake (Kek Kukus Sedap)

Bahan-bahan :
380 gram susu pekat manis *
400 gram mixed fruits *
250 gram mentega *
1 cawan air * - 250 ml
2 biji kuning telur

3 cawan tepung gandum ( 380 gram)
1 sudu kecil baking soda ( 5 gram )
1/2 cawan jus pati mangga (boleh juga guna jus orange)

Cara-cara :
1.  Masukkan bahan yang bertanda * dalam periuk. Masak atas api sederhana sambil dikacau sehingga mentega dan susu larut. Angkat. Bila sudah suam, masukkan dalam peti sejuk lebih kurang 3 - 4 jam.
2. Panaskan oven 170' C. Gris loyang 8 x 8 inci dan alas dengan kertas minyak. Ketepikan.
3. Keluarkan adunan susu pekat tadi dari peti sejuk campurkan dengan telur kuning. kacau rata.
4. Masukkan sedikit-sedikit tepung dan baking soda yang telah diayak kedalam adunan buah berselang seli dengan jus orange dan diakhiri dengan tepung. Kacau rata mengunakan spatula.
5. Bakar lebih kurang 50 - 1 jam.  Jangan overcook nanti kek kering. Simpan dalam bekas kedap udara.
Nota: Lebih lama disimpan, kek buah lebih lembab dan sedap.


Monday, March 18, 2013

Bubur Sum-Sum


Assalamualaikum... Salam pagi Isnin buat teman-teman semua. CT harap semoga hari ini, hari permulaan untuk minggu ini bermula dengan ceria. Dan semoga keceriaan hari ini berpanjangan untuk sepanjang minggu ye. Kalau terasa seperti ada Monday Blues awal-awal pagi ni, cepat-cepatlah pulihkan mood blues tu ye. Jangan sampai berlarat sepanjang hari, nanti berlarat sepanjang minggu pulak hehehe


Entri permulaan untuk minggu ini, CT kongsikan resepi ketiga dari lima resepi yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013, hidangan yang bersesuaian sebagai desert atau pemanis mulut iaitu Bubur Sum-sum. Nama bubur sum-sum ini adalah nama tradisionalnya. Tapi mengikut peredaran zaman, selain dari bahan-bahan asalnya yang turut diolah serba-sedikit, namanya pun sudah turut dikomersialkan sedikit. Kini, selain dipanggil bubur sum-sum, ada juga yang memanggilnya puding sum-sum. Agaknya kalau dipanggil puding tu nampak macam glamor sikit kot.


Pada asalnya, bubur sum-sum hanya mengunakan adunan tepung beras yang dicampur santan cair dan sedikit garam. Dengan bahan yang asas begini, hasilnya adalah bubur sum-sum yang agak pejal. Jika mahukan tekstur yang lebih lembut, sukatan santannya dipekatkan sedikit. Selain dari itu, bubur sum-sum yang asal dinikmati bersama air gula jernih yang dicampurkan sedikit bunga cengkih. Namun kini, ada yang menghidangkannya bersama air gula melaka. Kepelbagaian begini berlaku bilamana sesuatu hidangan tersebut divariasikan mengikut citarasa masing-masing. 


Masa zaman dulu-dulu, bubur sum-sum ni adalah salah satu pemanis mulut yang paling mudah dan ringkas untuk disediakan dan dinikmati. Adunannya ringkas dan setelah siap diadun terus saja dituang kedalam loyang. Untuk hidangan pula, tak perlu dipotong-potong tetapi diceduk saja samada menggunakan sudu atau senduk kedalam mangkuk. Tapi sekarang ni penampilannya dah berubah sedikit. Ada sesetengah orang yang membuatnya dalam acuan-acuan yang comel dan cantik untuk membuatnya nampak lebih menyelerakan. Orang-orang tu termasuklah diri CT juga hehehe.


Biasanya bila CT buat bubur sum-sum ni, CT akan buat banyak-banyak, kemudian stok kan dalam peti sejuk. Itu yang anak-anak tak henti-henti asyik bukak tutup peti sejuk tu sepanjang hari. Tau-tau aje bila CT tengok sebab CT nak makan, dah habis dah. Sabar ajelah. Kepada sesiapa yang sedang tercari-cari idea untuk membuat desert yang senang untuk dibuat, semoga resepi yang CT kongsikan ini memberikan idea untuk mencubanya ye.


Okeylah CT berhenti setakat di sini dulu. Sampai bertemu lagi nanti, salam manisss dari CT. Sampai berjumpa lagi nanti, salam manis dari CT... daaaa....

Bubur Sum-Sum

Bahan-bahan :
1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung jagung
300 ml santan Pekat
500 ml air
1 cawan susu cair
1/2 sudu kecil garam halus
7 helai daun pandan - perah ambil jusnya
Sedikit pewarna hijau

Bahan Sirap Gula :
1 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
1 helai daun pandan - disiat dan simpul
3 kuntum bunga cengkih

Cara-cara :   
1. Masak sirap gula hingga gula larut sengan api sederhana. Sejukkan.
2. Satukan kesemua bahan-bahan dalam periuk dan gaul rata. Tapiskan adunan dan kacau sentiasa dengan senduk kayu hingga pekat dan kilat. Hingga adunan meletup-letup.
3. Tuang adunan ke dalam loyang atau acuan yang dibasahkan dahulu dan sejukkan.
4. Hidang sejuk bersama sirap gula.

Wednesday, March 13, 2013

Apam Beras Tradisional


Assalamualaikum ... Bersua kembali di pagi hari rabu yang ceria semoga hari ini membawa kebahagiaan sepanjang hari buat kita semua. Sebagai kesinambungan kepada entri CT pada hari Isnin lepas, hari ini dan empat hari lagi yang berikutnya nanti, CT akan kongsikan secara marathon kesemua 5 resepi yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan April 2013 tersebut ye.


Sebelum CT berbicara lebih jauh, CT ingin merakamkan ucapan terima-kasih buat dua individu yang telah memberi kepercayaan penuh kepada CT untuk terus menyumbang nukilan resepi CT kepada pihak penerbitannya. Dua individu tersebut yang CT maksudkan itu ialah Siti Nani Saudiar dan Nur Seda Abdul Rani yang merupakan wartawan kepada Majalah RASA. Harapan CT, semoga kerjasama CT bersama pihak Kumpulan Karangkraf am nya dan Majalah RASA khususnya akan terus berpanjangan.


Untuk entri pertama daripada 5 entri yang CT akan kongsikan seperti tajuknya hari ini ialah Apam Beras gaya tradisional. Al maklumlah sekarang ni apam beras sudah banyak yang di inovasikan rupa dan gaya penampilannya dari yang berbelang-belang hinggalah kepada polkadot dan sebagainya. Apam yang CT kongsikan ni merupakan versi tradisional cuma warnanya agak terang sedikit. Kalau apam yang betul-betul tradisional, warnanya lebih kepada warna pastel. CT buatkan apam ni warnanya lebih menyerlah di atas permintaan pihak editor yang mahukan resepi keseluruhan yang meriah warna. Jadinya CT turutkan lah permintaan tersebut.


Kuih apam beras ni merupakan salah satu kuih tradisional kegemaran keluarga CT dan sudah berulang-ulang kali CT membuatnya. Selain dari pembuatannya yang mudah, kuih ini juga sedap dinikmati samada sebagai hidangan sarapan pagi ataupun dinikmati bersama secawan teh atau kopi panas untuk minum petang. Kepada yang belum pernah membuatnya tentu menyangka yang cara membuatnya agak susah tetapi hakikatnya kuih ini adalah antara kuih tradisional yang mudah untuk disediakan. Jadi pada yang belum pernah mencuba tu, CT sarankan supaya mencubanya. Tak cuba pasti tak tahukan.


Okeylah, untuk tidak berbicara lebih panjang lagi, CT akhiri bicara CT sampai di sini dahulu. Lagi pun fikiran CT agak serabut sedikit disebabkan musibah yang menimpa kakak yang paling rapat dengan CT kerana suaminya ditimpa stroke dan masih tidak sedarkan diri di ICU Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. CT doakan semoga kakak CT, kak Jamaliah tabah menghadapi dugaan ini dan semoga suaminya yang tersayang, abang Hamzah pulih seperti sediakala hendaknya, InsyaAllah.. aminnnnn.


Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss buat teman-teman yang sudi singgah di blog Dapur CT. Salam sayang untuk semua... daaaa....


Apam Beras Tradisional

Bahan-bahan :
2 cawan nasi sejuk
2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras
1 cawan brown sugar
3/4 cawan gula pasir
2 1/2 cawan air
2 sudu kecil yis kering - mauripan

pewarna makanan
Kelapa parut putih dikukus - gaul dengan sedikit garam

Cara-cara :
1. Blend nasi dan air sehingga hancur. Setelah hancur, campur brown sugar dan gula ke dalamnya dan blend sehingga sebati.
2. Dalam bekas lain, satukan tepung gandum, tepung beras dan yis. Kacau rata.
4. Masukkan bahan cecair tadi ke dalam bekas tepung. Kacau sehingga sebati.
5. Perap selama 3 jam.
6. Didihkan air dalam pengukus dan balut penutupnya dengan kain bersih.
7. Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
8. Ambil sedikit adunan ke dalam mangkuk kecil. Masukkan beberapa titik pewarna yang digemari dan kacau rata-rata.
9. Masukkan adunan dalam acuan kecil dan kukus selama 15 minit dengan api besar.
10. Hidang bersama kelapa yang telah di gaul dengan sedikit garam.



Monday, February 18, 2013

Kuih Nagasari Pandan


Assalamualaikum.. Salam sejahtera dan salam sayang buat semua teman-teman dan pengunjung setia Dapur CT. Apa khabar teman-teman semua. CT harap semuanya sihat sejahtera saja ye. Maklumlah selepas balik daripada musim cuti perayaan yang panjang. Malah sesetengah tu ada yang baru semalam baru pulang dari bercuti. Jadi bila dah balik semula tu, harapnya badan dan minda semakin cergas dan cerdas. Dan semakin bersemangat untuk bertugas dan memulakan hari-hari yang lebih baik. InsyaAllah.


Untuk memulakan hari pertama pada minggu ini, CT kongsikan resepi sarapan pagi kuih tradisional iaitu Kuih Nagasari Pandan. Versi tradisionalnya tidak berperisa pandan dan berwarna putih dan sekadar dibungkus dengan daun pisang seperti membungkus kuih lepat pisang atau lepat ubi. Tetapi versi yang CT buat ni CT ubahkan sedikit penampilannya dengan membungkusnya menggunakan daun pandan seperti acuan Kuih Tepung Pelita dan CT buatkan adunannya berwarna hijau dan berperisa pandan.


Kuih-kuih tradisional begini sedap dan tak jemu  untuk dinikmati berulang-ulang. Cuma ada kuih-kuih tersebut yang kurang menarik rupa dan penampilannya dan kuih nagasari ni salah satu kuih yang tak cantik dipandang mata sebab berbungkus dengan daun pisang. Itu yang kadang-kadang budak-budak kurang tertarik dengan kuih-kuih tradisional seperti ini tetapi lebih menggemari kuih-kuih moden yang menarik penampilannya seperti kek, muffin dan pastri.


Jadi untuk menarik perhatian anak-anak kecil untuk menggemari kuih-kuih tradisional begini, kadang-kadang kita mesti berinovasi sedikit untuk menjadikannya nampak menarik tetapi dalam masa yang sama tidak merosakkan keaslian rasa asalnya. Bila rupa dah nampak menarik pastinya anak-anak juga akan tertarik. Kalau nak hidang pada tetamu yang datang pun nampak sedap dipandang mata. Betul tak, hehe.


Resepi ni adalah salah satu daripada 5 resepi CT yang telah disiarkan dalam Majalah RASA keluaran bulan Mac 2013. Dalam majalah tu cuma diletakkan 1 gambar saja bagi setiap resepi jadi tak terserlah keenakan kuih ni daripada penampilannya. Jika ada yang tertarik dan berminat untuk mencubanya setelah melihatnya di sini, bolehlah semak resepi di bawah ye. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam sayang dari CT.. daaaaaa...



Kuih Nagasari Pandan
Resepi Che CT

Bahan-bahan :
1 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung jagung
4 cawan santan sederhana pekat
2 sudu besar gula pasir
7 helai daun pandan - kisar dengan 1 cawan air, tapis airnya
Sedikit pewarna hijau
Sedikit garam
2 biji pisang masak - kukus sebentar

Cara-cara :
1. Sediakan dahulu acuan mangkuk dari daun pandan, ketepikan.
2. Didihkan air dalam periuk kukusan.
3. Satukan tepung beras, tepung jagung, gula pasir, garam, santan, air pandan dan sedikit pewarna hijau. Kacau rata hingga gula larut dan tapis dalam periuk.
4. Masak atas api perlahan dan kacau sentiasa sehingga adunan pekat sedikit. Matikan api dan angkat.
5. Sudukan adunan dalam mangkuk pandan dan letak sehiris pisang masak diatasnya. Buat hingga habis dan kukus 10 minit dengan api perlahan. Sejukkan baru dihidang.

Monday, January 7, 2013

Talam Tepung Beras


Assalamualaikum... Salam tahun baru dari CT buat teman-teman semua. Walaupun hari ini sudah masuk hari yg ketujuh, namun CT harap masih tidak terlambat lagi untuk CT membuat ucapan ye. Semoga Semoga tahun baru ini kita diberi kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan sentiasa bahagia bersama insan-insan tersayang, InsyaAllah... Amin Ya Rabbal Alamin. Agak terlewat sedikit untuk mengupdate resipi diawal tahun 2013 hehehe. Banyak kerja yang CT harus selesaikan demi memenuhi permintaan yang bertambah-tambah. Namun Syukur Alhamdulillah jika kita lakukan dengan tenang dan sabar, pasti ianya akan berakhir dengan baik.


Untuk tirai pertama diawal tahun ni, CT mencuba satu resipi kuih tradisional lagi. Kalau cerita bab kuih-kuih talam ni, memang menjadi kegemaran suami CT lah. Memang suami suka sangat-sangat kuih jenis talam-talam ni, cuma CT aje yang tak menang tangan nak membuatnya hehehe. Kalau search di Google tu macam-macam kuih ada dan berbagai nama yang diberi. Nak buat dengan tidak aje, apa lagi terus klik resipi Kuih Talam Tepung Beras. Ingin mencuba dan belum pernah buat lagi sebelum ni. Dan, Percaya atau tidak, memang CT belum pernah makan pun kuih talam tepung beras ni hehehe. Kiranya, ini yang pertama kalinya CT membuatnya. Hasil kejadiannya, adunan putih tu kurang sikit rasa lemak garamnya. Tapi okey lah jaga kesihatan kalau dah termasin lagi tak dapat makan betul tak. Lagi satu, CT dah kacau pelan-pelan adunan tu tapi masih ada juga lubang-lubang pada kuih ni, kenapa agaknya ye. Itu tandanya kena cuba lagilah tu, betul tak Mat Gebu hehehe.


Cerita bab kuih talam ni, teringat masa CT duduk di Johor dulu. Bila bulan Ramadhan aje, kuih pertama yang akan CT dan suami cari adalah kuih talam. Tak kisahlah kuih talam apa semuanya bedal. Tapi sebab dulu CT tak pandai buat kuih talam, bila beli tu kena campur-campurlah jenis-jenisnya sebab nak merasa itu sikit ini sikit. Tapi kuih talam pertama yang CT dan suami beli waktu itu ialah kuih talam keladi dan kuih talam suji. Memang sedap sangat-sangat dan esoknya CT beli lagi sampailah CT dan suami rasa jemu hehehe. Tapi sekarang Alhamdulillah, sebab kalau nak mencubanya segalanya sudah ada dihujung jari hanya klik cari dan terus boleh mencuba. Dan pastinya rasa puas sebab dapat buat sendiri kannn.


Resipi kuih ini dah ramai juga yang membuatnya. Tapi CT ambil dari blog Mat Gebu aje sebagai rujukan kali ni. Kalau nak cuba buat kuih talam ni macam-macam ingin CT buat. Tapi memandangan anak-anak dan suami hanya makan waktu pagi sebagai sarapan, rasanya CT akan buat 1/2 adunan saja kot lain kali. Sebab bila anak-anak dah balik sekolah masing-masing akan makan nasi lepas tu dah kenyang. Kuih-kuih dah tak pandang pun hehehe. Kecuali bila CT buat time cuti atau hujung minggu baru boleh habis jika dibuat satu adunan. Bergantung juga pada kuihlah. Tapi Kuih tepung beras ni CT suka sebab ia lembut dan manisnya sedang-sedang aje.


Terima kasih pada semua teman-teman yang telah berkongsi resipi Kuih Talam Tepung Beras ni. Mintak maaf ya tuan punya resipi sebab CT ada tokok tambah sikit-sikit pada resipinya dan ubah mengikut selera CT. Izinkan CT memanjangkan lagi di Senarai Dapur CT semoga dapat dibuat rujukan untuk semua dimasa-masa akan datang. Sampai jumpa lagi, salam manisss dari CT. Daaa....


Talam Tepung Beras
Resepi Di Olah : Che CT

Bahan lapisan bawah:
150 gram tepung beras
250 ml santan pekat kotak KARA
400 ml air
1/2 sudu teh garam

Bahan lapisan atas:
250 ml air *
75 gram gula melaka, potong kecil *
10 gram gula pasir*
2 helai daun pandan - disimpul * - bahan diatas dimasak hingga gula larut, sejukkan dan tapis

250 ml santan
30 gram tepung beras
30 gram tepung gandum
2 biji telur gred A
1 sudu teh esen vanilla
1/2 sudu teh coklat emulco
Secubit garam

Cara-cara:
1. Panaskan air dalam kukusan hingga mendidih, balut tutup kukus dengan tuala bersih. Alas loyang bulat 8 inci dengan plastik bersih, sapu sedikit minyak pada permukaan plastik. Ketepikan.
2. Dalam satu bekas, satukan bahan untuk lapisan bawah kecuali garam, kacau rata dengan senduk kayu atau whisk, tambah garam secukup rasa dan tapis ke dalam bekas tahan panas. Masak atas air mendidih secara double boiler dan kacau sentiasa hingga bancuhan pekat sedikit. Tuang ke dalam loyang, ratakan dan kukus 20 minit dengan api sederhana.
3. Sementara itu, sediakan untuk lapisan atas pula. Satukan semua bahan lapisan atas kecuali telur dan garam dan kacau dengan senduk kayu hingga sebati. Masukkan telur dan kacau perlahan-lahan dengan garfu, jangan kacau laju-laju nanti akan menyebabkan atas kuih berlobang-lobang. Kemudian masukkan secubit garam, kacau perlahan-lahan lagi dan tapis.
4. Angkat kukus yang berisi loyang tadi, kemudian sendukkan lapisan atas perlahan-lahan, pastikan anda kacau dulu sebelum dituang. Kemudian kukus lagi selama 45 minit dengan api sederhana. Biar kuih betul-betul sejuk, baru dipotong dengan pisau plastik atau pisau yang dilapis dengan plastik cling. Hidangkan.



Friday, December 21, 2012

Roti Jala berinti Kentang dan Telur


Assalamualaikum... Selamat bersua kembali di hari Jumaat yang mulia ini buat teman-teman semua. Sekejap aje dah sampai hujung minggu, terasa sekejap rasanya masa berlalu. Tapi sebenarnya hujung minggu ni juga hujung minggu yang CT dok tunggu-tunggu. Sebab hujung minggu ni CT nak bercuti lagi bersama keluarga tersayang. Bukan cuti-cuti Malaysia, tapi cuti balik kampung hehehe. Sebelum penggal baru persekolahan bermula, tu yang ambik kesempatan untuk balik kampung dulu. Lagipun anak-anak pun asyik sibuk bertanya bila nak balik kampung. Bukan tak nak balik awal awal hari tu, tapi memandangkan cuti tahunan suami cuma tinggal sehari, jadinya terpaksalah tunggu sampai dah nak hujung-hujung ni sebab kebetulan ada selang sehari hari bekerja sebelum bersambung semula cuti sempena perayaan krismas. Jadi bolehlah bawak anak-anak balik kampung. Bagi senyap sikit mulut anak-anak tu hehehe.


Hari ni CT kongsikan resepi roti jala gulung yang boleh juga dikatakan hidangan kegemaran seisi keluarga CT. Tambah-tambah lagi pada Haqim anak bungsu CT memang gemar sangat pada roti jala. Kalau tak ada kuah kari, dapat makan gitu-gitu pun Haqim layannnn... sedap katanya hehehe. Tapi untuk CT pulak, kalau buat roti jala bercecah kuah kari CT dok pandang ajelah, sebab CT tak gemar dengan kuah kari. Nak cecah dengan kuah durian pulak masih belum pernah mencuba lagi. Rasanya nanti nak cuba jugalah roti jala dicecah dengan kuah durian. Tapi nak beli kat pasar tani Shah Alam aje sebab nak membuatnya sendiri malas hehehe.


Untuk resipi Roti Jala kali ini CT buatnya dengan versi Roti Jala yang digulung berinti Kentang dan Telur. Sebelum ni CT pernah buat roti jala yang berintikan keledek bercampur kentang tapi CT tak publish sebab CT buat sikit aje untuk habiskan lebihan inti masa buat karipap. Tapi kali ni CT datang angin rajin dan terus buat inti kentang yang dicampur isi ayam. Bila dah siap buat inti tu, suami cadangkan supaya letak hirisan telur rebus bersama inti tu macam karipap kat IKEA. Bagus sungguh idea Suami CT kan. Bila dah siap membuatnya tak cukup pulak satu adunan tu, sebab Suamilah yang makan paling banyak sekali, sedap katanya hehehe, Terima kasih Ayangggg... kalau bukan Suami yang puji siapa lagi nak puji masakan isteri terchenta dia kan hehehe.


Resipi roti jala ni memang CT selalu guna adunan yang sama aje, sebab senang nak ingat dan mudah untuk membuatnya. CT gunakan santan dalam adunan tu supaya ada rasa lemak-lemak sedikit. Ada juga yang membuatnya tanpa menggunakan santan. Itu bergantunglah pada citarasa masing-masing kan. Tapi CT kekal dengan citarasa CT dan tetap pada resipi yang sama juga, terima kasih CT ucapkan pada Mat Gebu untuk resepi tersebut.


Okeylah CT berhenti berceloteh sampai di sini dulu. Jika ada yang teringin nak mencuba, bolehlah semak resipi dibawah ye. Sampai berjumpa lagi jika ada kesempatan nanti, salam manisss dari CT. Daaa....


Roti Jala berinti Kentang dan Telur
Resipi Olahan Che CT

Bahan Roti Jala:
2 cawan tepung gandum
1 biji telur
4 camca besar santan
1/3 camca teh garam
2 1/2 cawan air
1 camca besar minyak masak
sedikit pewarna kuning

Bahan Inti Kentang:
3 biji kentang saiz besar - bersihkan dan potong dadu
1 biji bawang besar - didadu kecil
2 biji bawang merah
1/2 gengam ikan bilis
1 sudu besar cili kisar
300 gm isi ayam - potong dadu
2 sudu besar serbuk kari daging/ayam
garam dan gula secukup rasa
Air secukupnya
Daun sup - hiris

3 biji telur rebus - dibelah 4 untuk setiap biji

Cara membuat Inti:
1. Kentang yang telah didadu direndam dalam air.
2. Blender ikan bilis dan bawang merah hingga halus, ketepikan.
3. Panaskan minyak dan tumis bawang besar hingga wangi. Masukkan bahan blender dan cili kisar. Kacau rata kemudian masukkan serbuk kari yang dilarut dengan sedikit air dan kacau lagi hingga garing.
4. Kemudian masukkan isi ayam, kacau rata. Akhir sekali masukkan kentang dan air secukupnya.
5. Kacau selalu dan biarkan hingga kentang empuk dan air sedikit kering. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Akhir sekali masukkan daun sup dan gaul rata, tutup api dan sejukkan.

Cara membuat Roti Jala:
1. Satukan semua bahan dalam mangkuk, kacau guna whisk hingga sebati. Boleh juga menggunakan blender dan putar sekejap. Tapiskan adunan dan rehatkan selama 20 minit.
2. Dalam kuali leper (frying fan), lenserkan sedikit minyak nipis sahaja dan biarkan panas. Ceduk adunan tadi ke dengan acuan roti jala dan kirai secara pusingan ke dalam kuali. Dan pastikan jaluran terbentuk bersambung antara satu sama lain.
3. Bila warna roti jala mulai pucat (tandanya dah masak), lipat dua mengunakan sudip dan alihkan ke dalam pinggan. Letak inti kentang serta satu potongan telur rebus dan gulung dengan kemas. Ulangi proses yang sama untuk yang selanjutnya. Buat hingga habis. Sesuai untuk hidangan sarapan pagi atau minum petang.



Wednesday, December 19, 2012

Kuih Seri Muka Pulut Hitam


Assalamualaikum... Salam pagi buat semua teman-teman yang CT ingati, semoga sentiasa ceria hendaknya. Muka yang ceria melambangkan hati yang tenang. Dan hati yang tenang datangnya dari jiwa yang bersih. Ye lah tuuu... hehehe. Rasanya untuk minggu ni CT nak kongsikan menu kuih muih terus menerus. Selain dari itu, CT juga bercadang nak mencuba resepi kuih muih dari negeri-negeri yang berlainan yang CT belum pernah cuba dan rasa. Disamping dapat mencuba resepi baru, dapat juga tahu asal usul kuih tu juga. Tapi tu lah, selagi tak mencuba, selagi itulah tak menjadi dan tak tahu.


Untuk resepi yang CT kongsikan hari ini, mulanya CT terpandang kuih seri muka pulut hitam ni dalam FB seorang rakan, Kak Ruby Yaacob. Lepas ternampak tu terus niat nak mencuba tu datang. Tapi CT mintak maaf pada Kak Ruby sebab adunan serikaya menurut resepi kak Ruby tu CT tukarnya kepada adunan seri muka mengikut resepi yang pernah CT buat dulu.


CT suka pada adunan resepi kuih ini yang lembut dan sedang-sedang aje manisnya. Bukan CT aje, malah seisi sekeluarga turut sama menyukainya. CT sarankan sangat-sangat pada yang berminat untuk mencuba resepi yang dikongsikan oleh Kak Ruby ni. Dan terima kasih kepada Kak Ruby sebab berkongsi resepi yang sedap ni.


Satu je kelemahan bila CT buat kuih yang berasaskan pulut macam ni ialah CT tak boleh makan terlalu banyak sebab CT alah pada pulut, nanti mulalah perut sebu semacam. Jadi terpaksalah CT makan secara berulang-ulang, tak boleh mengadap sekaligus banyak-banyak terus. Bahagian kuih ni yang paling CT suka ialah bahagian toppingnya tu. Sedap dan lembut. Atas sebab yang sama juga agaknya anak CT yang bongsu tu suka makan bahagian topping nya tu aje, sebab katanya yang nasi hitam bahagian bawahnya tu tak sedap. Hai macam-macam kerenah budak-budak ni kan hehehe.


Penggunaan Pulut Hitam untuk bahagian bawah Kuih Seri Muka ni membuatkan rasanya sedikit berbeza berbanding jika menggunakan pulut biasa sepenuhnya. Pada yang tak pernah dan teringin untuk merasa kelainannya, bolehlah mencuba resepi ni nanti ye. Memang kuih ni sesuai sangat untuk dijadikan hidangan minum petang atau untuk sarapan pagi.


Okeylah, kita terus saja pada resipi yang CT kongsikan dibawah ni pada yang berminat untuk turut sama mencubanya ye. Sampai kita berjumpa lagi nanti, salam manisss dari CT buat semua. Daaa....


Kuih Seri Muka Pulut Hitam
Resipi Olahan Che CT

Bahan Pulut Hitam:
1/2 cawan beras pulut hitam
1 cawan beras pulut
1 1/2 cawan air
1/2 cawan santan pekat
1 sudu teh garam

Bahan Seri Kaya:
300 ml santan pekat + 1/2 cawan air
2 biji telur gred A
160 gm gula castor
1 1/2 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar tepung gandum
Pewarna kuning dan hijau

Cara-cara :
1. Bersihkan beras pulut hitam, cuci bersih dan rendam berasingan dengan beras pulut selama 6 jam atau semalaman.
2. Cuci bersih dan toskan airnya. Gaul rata kedua-dua beras pulut. Kemudian tuang santan yang telah dicampur dengan garam. Kukus beras pulut sehingga masak.
3. Pindahkan pulut yang telah masak kedalam loyang 7 inci yang telah dilapis plastik bersih. Dan tekan-tekan agar pulut sedikit mampat dan padat.
4. Kukus lagi pulut selama 10 minit.
5. Sementara menunggu pulut masak, satukan semua bahan-bahan seri kaya dalam mangkuk besar. Kacau dengan whisk sehingga sebati. Tapis adunan dan bahagi kepada 2 bahagian sama rata.
6. Bila pulut sudah tanak, sendukkan adunan kuning perlahan-lahan atas pulut dan kukus selama 20 minit dengan api sederhana. Balut tutup kukusan dengan tuala bersih agar air tidak menitis atas kuih nanti.
7. Bila adunan kuning telah masak, guris sedikit dengan garfu dan sendukkan adunan hijau pula diatasnya. Kukus lagi selama 30 minit sehingga masak. Jika ada air diatas kuih lapkan perlahan-lahan dengan tuala bersih. Tunggu kuih betul-betul sejuk sebelum dipotong dan dihidangkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...