Monday, March 8, 2010

Bahulu Lapis Pandan




Salam untuk semua yang masih sudi singgah di Dapur CT. Petang tadi aku buat bahulu lapis ni, dah makan separuh pun hehehe. Sememangnya dah lama nak mencuba buat bahulu lapis ni. Masa mat gebu buat aku hanya pendamkan dulu niat dihati ni. Tapi bila aku ke dapur DJ (DayangJack) ada lagi bahulu lapis ni. Memang seru tu dah meluap2 dan hampir meletus, apalagi aku terus buatlah. Bahan2 pun tak lah susah mana dan agak mudah juga nak menyediakannya. Hari ni dengan kerajinan wonder women ku terjadi lah bahulu lapis idaman kalbu hehehe. Tapi aku buat versi pandan, amik resepi dari dapur DayangJack. Terima kasih ya Dayang harap lain kali ada lagi resepi yang sedap2 dari Dayang untuk K.CT cuba lagi :D


Bahulu Lapis Pandan
Resepi dari Dayang Jack

Bahan-bahan:
75 gm tepung gandum + 25 gm susu tepung (diayak)
90 gm gula pasir (dikisar halus)
1/2 sudu kecil baking powder
3 biji telur gred A (CT guna 4 biji telur gred B)
1 sudu kecil pandan emulco / pandan paste
jem secukupnya untuk melapis

Cara-cara:
1. Sediakan loyang yang bersesuaian (nak guna loyang bulat pun boleh). Lengserkan dengan mentega dan alaskan dengan kertas minyak. Lengserkan lagi dengan mentega pada kertas minyak dan taburkan sedikit tepung. Panaskan suhu oven pada suhu 180C.
2. Satukan gula dan telur di dalam mangkuk adunan. Putar hingga kembang. (high speed).
3. Masukkan pandan emulco dan baking powder. Putar lagi hingga kembang dan gebu.
4. Masukkan tepung sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan senduk kayu. Gunakan kaedah kaup balik.
5. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan bakarlah selama 20 minit atau sehingga perang menyeluruh.
6. Setelah masak, keluarkan bahulu dari oven. Biar sejuk dahulu baru boleh dipotong.
7. Potong kepada beberapa bahagian dan lapiskan dengan jem yang disukai.

Sunday, March 7, 2010

Rendang Ayam Malaysia




Ini hidangan Rendang Ayam Malaysia untuk suami dan anak-anak. Aku buat berkuah sedikit, kang kalau kering kesian lak kat anak-anak, susah nak makan kalau tak berkuah. Resepi kali ni aku cuba dari Majalah Saji tahun 1997, selera hotel dan restoranlah ni. Resepi asalnya guna daging, tapi aku tukar jadi ayam. Saje jer tukar ayam sebab anak2 ni kurang sikit nak makan daging. Kali ni tak der nak CnP jadi kena rajinlah menaip hehehe.


Rendang Ayam Malaysia
Sumber dari Majalah Saji

Bahan-bahan:
1 ekor ayam - dipotong dan dibersihkan.
8 biji bawang merah / 2 labu bawang besar #
5 ulas bawang putih #
1 inci halia #
1 inci kunyit hidup #
4 batang serai #
1 inci lengkuas #
15 batang cili kering #
1 sudu besar ketumbar biji #
1 susu kecil jintan manis #
1 susu kecil jintan putih #
3 biji buah keras #
1 mangkuk santan dari 1 biji kelapa
3 susu besar kerisik
garam, gula dan perasa secukup rasa
daun kunyit dan daun limau purut - di mayang halus
1 keping asam gelugur (CT tambah)
minyak untuk menumis
(Bahan bertanda # : kisar semua hingga halus)

Cara-cara:
1. Tumis bahan2 yang dikisar halus hingga perang dan garing.
2. Kemudian masukkan ayam dan di gaul rata.
3. Masukkan santan dan biarkan ia mendidih buat seketika. Masukkan daun kunyit, daun limau purut, kerisik, asam gelugur dan perasa.
4. Biarkan di atas api hingga ayam empuk dan kuah sebati. Perasakan garam dan bila telah pekat boleh hidangkan. Selamat mencuba.


Tuesday, March 2, 2010

Kuih Rengas @ Gendang Kasturi




Kemarin aku jalan2 ke pasar malam Taman Melati dengan anak2 dan suami. Adalah nampak orang jual kuih rengas a.k.a gendang kasturi atau kacang hijau ni. Banyaknya nama kuih ni tu yang istimewa kot, apa2 lah asal semuanya dah disebut hehehe. Cakap kat suami lamanya tak buat kuih ni. Orang Johor panggil kuih ni gendang kasturi, memang aku dan suami suka kuih ni. Aku suka buat kecik2 nampak comel jer macam orang yang membuatnya hehehe. Bukan apa, kalau buat besar2 susah pulak nak sekali ngap masuk mulut hehehe. Resepi kuih ni aku ambil dari FB chef hanieliza. Mintak izin ya kak liza, CT nak CnP kat sini, terima kasih :D


Kuih Rengas @ Kasturi
Resepi dari Chef Hanileza

Bahan-bahan:
1 cawan kacang hijau - rendamkan beberapa jam (CT rendam 2 jam)
Air secukupnya untuk merebus
1/2 cawan gula pasir (ikut suka manisnya)
3 sudu besar kelapa parut muda (ambil putihnya saja)
3 sudu besar tepung gandum

Bahan Batter (Tepung Utk Menggoreng)
1 cawan tepung beras
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu kecik kunyit serbuk
1/2 sudu kecik air kapur
air secukupnya
sedikit garam
minyak untuk menggoreng

Cara-cara:
1. Kacang hijau direbuskan sehingga kacang hijau tu pecah/lembut dan kering airnya. (Jangan sampai hangus..nanti tak sedap)
2. Masukkan kelapa, gula dan tepung gandum. Kacau sebati dan sejukkan.
3. Ambil adunan sedikit dan bentukkan saperti bebola. Leperkan.
4. Bancuhkan bahan batter (gorengan) untuk celupkan adunan kueh kacang.
5. Panaskan minyak dan gorengkan kueh kacang yg telah dicelupkan dgn bahan batter (gorengan) sehingga kuning keemasan.
6. Sejukkan dan hidangkan.


Puding Roti Pandan Kukus




Bersua lagi di awal bulan Mac ni dengan resepi puding roti pandan kukus. Resepi yang dah lama sangat aku tak membuatnya. Kalau kat rumah ni memang tak akan cukup walau buat seloyang besar hehehe. Sebelum ni aku letak kismis tapi kali ni buat tak bubuh apa2 pun bior plain aje. My laling CM memang suka roti kukus ni, ya lah resepi dari mak dia kannn. Okey resepi ada di senarai resepi tu. Tapi tak apa lah aku letak lagi disini lagi untuk kemudahan kawan2 yang ingin untuk mencubanya. Selamat mencuba ya....


Puding Roti Pandan Kukus
Resepi dari CT

Bahan-bahan:
12-14 keping roti putih/gardenia (tak perlu buang kulit tepi)
15 helai daun pandan
1 biji kelapa parut (CT guna santan kotak 100 ml)
5 cawan air
2 biji telur (dipukul ringan)
1 cawan gula pasir (sukatan manis ikut selera masing2)
1/2 sudu teh esen vanila
sedikit pewarna hijau
sedikit garam

Cara-cara:
1. Bersihkan daun pandan, kerat kecil2 dan blend dengan kelapa parut dan air. Tapis untuk mendapatkan santan yang kini berperisa pandan.
2. Dalam mangkuk besar, masukkan telur, gula pasir, santan dan sedikit garam tersebut. Kacau sekejap untuk melarutkan gula.
3. Masukkan esen vanila dan sedikit pewarna hijau, kacau lagi hingga rata.
4. Celupkan roti dalam campuran santan tersebut hingga serap sepenuhnya dan susun dalam loyang. Buat sampai habis dan tuang sedikit lebihan santan atas roti tadi. (CT letak plastik dalam loyang supaya mudah untuk dikeluarkan nanti).
5. Kukus roti tadi selama 15 - 20 minit. Sejukkan dahulu baru di potong. Selamat mencuba ....

Saturday, February 27, 2010

Ikan Masak Kicap




Salam mesra untuk semua moga ceria selalu. Hari ni aku update hidangan harian je iaitu lauk ikan masak kicap. Lauk ni aku masak semalam sebenarnya tapi nak masukkan semalam tak berkesempatan. Jadi menu ni kira dah habislah ya, terlewatlah sesapa yg berhajat nak merasa hehehe. Oleh kerana kat rumah ni anak2 bujang tak makan ikan dan yg tak bujang pula tak gemar ikan tenggiri, jadi aku guna ikan tongkol jer lah. Resepi ni dari Mat Gebu, senang dan amat mudah nak menyediakannya. Rasanya minggu ni banyak resepi dari Mat Gebu. Harap Mat tak kisah dan K.CT pun tak kisah hehehe. Aku CnP resepi ni dari dapur Mat ya :D

Ikan Masak Kicap
Resepi dari Mat Gebu

Bahan-Bahannya:
5 keping potongan ikan ikan tenggiri # (CT guna ikan tongkol)
1/2 camca teh kunyit serbuk #
Secubit garam #
2 biji bawang besar, dipotong bulat
4 ulas bawang putih, diketuk
1 inci halia, diketuk
1 biji cili merah, hiris menyerong besar2
1 inci kulit kayu manis*
3 kuntum bunga cengkih*
2 biji buah pelaga*
3 kelopak bunga lawang*
1 camca besar sos tiram
1 camca teh cuka makan
1 cawan kicap manis
1/2 camca teh serbuk lada hitam
2 biji kentang, potong berbaji dan goreng garing
1 biji tomato, belah 6 (jika suka)
Hirisan daun bawang, sebagai hiasan
Kacang Buncis - di potong2 (ct tambah)
(Bahan bertanda # : disatukan dan perap 10 minit)
(Bahan bertanda * : rempah tumis)

Cara-cara:
1. Goreng ikan tenggiri tadi hingga kuning keemasan tetapi tidak garing, masih lembap. Angkat dan ketepikan.
2. Dalam kuali sama, keluarkan minyak gorengan ikan tadi hingga tinggal 2 camca besar, tumis rempah tumis, bawang putih dan halia hingga harum. Gunakan api sederhana. Masukkan sos tiram, serbuk lada hitam dan cuka makan, kacau rata. Tuang sedikit air (anggaran 1/2 cawan) dan kicap manis. Biar mendidih baru dimasukkan ikan goreng tadi bersama2 hirisan bawang besar dan cili merah. Biar masak hingga kuah sedikit pekat.
3. Kemudian masukkan kentang goreng dan tomato, gaul rata dan bila tomato lembut sedikit, boleh angkat dan hias dengan hirisan daun bawang sebelum dihidangkan bersama nasi hangat atau pun bubur nasi.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...